Rina Jainal Terdesak Keluar Demi Manfaat Kewangan – Warisan Kalabakan

KOTA KINABALU: Keputusan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal untuk keluar Parti Warisan (Warisan) disifatkan sebagai tindakan tidak berprinsip terdesak kerana ingin memperoleh manfaat kewangan.

Setiausaha Bahagian Kalabakan, Ayuf Abd Rahman berkata, Rina merelakan dirinya dimanipulasi sebagai balasan untuk wang.

“Dia lupa bahawa kemenangannya di kerusi DUN Kukusan dengan majoriti tipis 10 undi telah dicapai hasil kerja keras Warisan Kalabakan yang berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangannya.

AYUF

“Rakyat Kukusan mengundinya bukan kerana dirinya secara individu tetapi kerana parti yang diwakilinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keterdesakan Rina begitu terserlah kerana menyertai parti yang langsung tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.

“Jika dilihat Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang disertainya gagal memenangi sebarang kerusi, malah calonnya hilang wang deposit dan Presidennya sendiri, Tan Sri Liew Yun Fah juga tewas.

“Parti itu hanyalah cengkerang kosong. Mungkin ia boleh berbuat bising namun tidak lebih daripada itu

“Apa yang boleh saya katakan ialah PHRS dieksploitasi oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menambah bilangan ADUN mereka,” katanya.

Rina yang juga Ketua Wirawati Kalabakan, mengumumkan keluar daripada Warisan kelmarin bagi menyertai PHRS.

Kini Rina menjadi sebahagian daripada kluster yang sebelum ini pernah dikritiknya kerana gagal mentadbir negeri dengan baik dan gagal memberikan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.

JUMAAD

“Ini juga memperlihatkan langkah terdesak Hajiji untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan memastikan Bersatu terus relevan walaupun parti itu kini bergelut untuk meneruskan kelangsungan politiknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Warisan Bahagian Kalabakan, Jumaad Abu Bakar berkata, bahagian itu masih kukuh.

Tindakan Rina tidak menyebabkan parti itu goyah malah, jika dilihat bekas Ketua Wirawatai Bahagian Kalabakan itu gagal menarik ahli-ahli parti untuk bersamanya keluar daripada Warisan.

Situasi ini cukup jelas menunjukkan ADUN Kukusan itu tidak mempunyai pengaruh besar bagi membawa ahli-ahli Warisan bertindak sepertinya bagi menyertai parti yang menajdi boneka kepada Bersatu. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *