Stacy Hamil Tujuh Bulan

Foto menampakkan keadaan Stacy berbadan dua ketika penyanyi itu, suami dan anak-anak bercuti di Sabah, baru-baru ini. Foto IG Stacy

KUALA LUMPUR: Spekulasi kehamilan Stacy terjawab apabila penyanyi itu mengesahkan dirinya berbadan dua.

Stacy atau nama sebenar, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 32, memberitahu, kandungannya mencecah tujuh bulan dan dijangka bersalin, Ogos depan.

“Iya, saya hamil… Sudah tujuh bulan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Jika diikutkan, saya sudah tidak mampu untuk ‘cover’ lagi perut yang sudah ke depan.

“Ada video baharu yang dimuat naik ketika bercuti di Sabah bersama suami dan dua anak. Dalam rakaman itu, saya kelihatan cuba ‘cover’ perut. Sempatlah juga bercuti dengan berbadan dua.

“Namun, akhirnya, saya tidak dapat lagi tahan perut… Dilepaskan sahaja perut yang sudah memboyot ke depan itu,” katanya kepada BH Online.

Sejak beberapa bulan lalu, netizen mula membuat spekulasi kemungkinan Stacy hamil melalui beberapa perkongsian videonya.

Stacy berkata, dia tidak merahsiakan kehamilannya jika ditanya.

“Sebelum ini, ramai mendoakan keadaan saya baik-baik sahaja. Keluarga pun bertanya soalan sama ada saya hamil atau sebaliknya.

“Jika diikutkan, ada yang sudah tahu saya hamil. Saya pun tidak berahsia kalau ada bertanya.

Akim, Stacy dan anak-anak ketika menyambut Aidilfitri lalu. Foto IG Stacy

“Sekarang, saya tinggal dua bulan untuk bersalin. Diharapkan segala-galanya dipermudahkan,” katanya.

Stacy turut berharap dikurniakan cahaya mata lelaki kali ini.

“Sudah ada dua ‘heroin’ yang semakin membesar depan mata. Jadi, kalau ada rezeki, dapat ‘boy’, bagus juga. Namun, saya dan Akim terbuka soal jantina anak,” katanya.

Akim dan Stacy mendirikan rumah tangga di Kota Kinabalu, Sabah pada 2016. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *