Lebih Sebulan Tak Jumpa Anak, Shuk Buat Kejutan Untuk Mereka

Shuk Sahar bersama dua anaknya menerusi rakaman video dimuat naik di TikTok.

KUALA LUMPUR : Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar membuat kejutan kepada dua anaknya Nur Qurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2, dengan bertemu mereka di Sandakan, Sabah, semalam.

Shuk, 36, atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia sudah lebih sebulan tidak bertemu dua puterinya itu sejak Ramadan lalu.

“Sebenarnya dari awal puasa lalu anak saya Ain dan Aimi ke Sabah dan beraya di sana. Lebih sebulan juga saya dah tak berjumpa mereka. Saya sangat rindukan mereka.

“Jadi pagi ini (semalam) saya bangun, tanpa sebarang perancangan saya terus gerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), saya beli tiket ke Sandakan, saya nak buat kejutan untuk Ain dan Aimi,” katanya.

Shuk membuat rakaman detik itu bermula di KLIA 2 hingga tiba di sana sebelum membuat hantaran video dan dimuat naik di TikTok.

Menerusi rakaman sama, kelihatan bagaimana kedua anaknya berlari menujur ke arah Shuk saat melihatnya.

Shuk kemudian memeluk dan mendukung erat kedua anaknya itu. Berdasarkan pemerhatian pertemuan dibuat di sebuah hotel di daerah itu.

Hantaran video beserta keterangan dan tanda pagar Hanya Rindu #hartaduniaakhirat itu sudah mencecah lebih 586,000 tontonan, hampir 30,000 tanda suka dan lebih 660 komen.

Dalam masa sama, Shuk yang turut membuat sesi siaran langsung di akaun TikTok semalam dihujani pertanyaan mengenai sejauh mana hubungannya dengan isteri, Sera atau nama sebenarnya Rossalennah Natassyiah Asshafera.

Malah, ramai mendoakan agar Shuk dan Sera rujuk semula sekali gus menimbulkan persoalan adakah pasangan itu sudah bercerai?

Bagaimanapun, usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan Shuk tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej tidak berjawab.

Terdahulu, pada Mac lalu Sera memberi bayangan dia dan Shuk bakal berpisah menerusi hantaran di Instagram selain kelibatnya dilihat muncul di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini.

“Aku hanya kehilangan orang yang tidak mencintaiku, tapi dia kehilangan orang yang mencintainya,” demikian perkongsian Sera di Instagram.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua anak. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *