Kumpulan Penculik Masih Cuba Ceroboh, Perintah Berkurung Esszone Dilanjut

Anggota pasukan keselamatan membuat rondaan di pesisir pantai Pulau Siamil pada 9 Feb lalu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan terbabit dilarang menghampiri atau berada di kawasan perintah berkurung antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan di situ.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat di kawasan daratan Esszone.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta memberi rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di Esszone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *