PKR Sabah Desak Christina Liew Digugurkan

Sangkar Rasam (kanan) menunjukkan kenyataan media yang ditandatangani ketua-ketua cabang PKR dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini

KOTA KINABALU: Pergolakan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah seakan-akan tidak berpenghujung.

Desakan menggugurkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew dibangkitkan sekali lagi.

Hari ini, 16 pemimpin PKR negeri tampil mengadakan sidang media secara bersama bagi mendesak agar Christina ditukar dengan pemimpin baharu.

Ketua Cabang PKR Keningau, Datuk Dr. Sangkar Rasam yang mengetuai sidang media itu berkata, 16 pemipin itu terdiri daripada ketua cabang, Pimpinan Wanita dan Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pimpinan Srikandi negeri, Ahli MPN Lantikan.

“Pertukaran ini penting bagi memastikan Keadilan di negeri ini bangkit semula.

“Pertukaran kepimpinan ini adalah untuk memperkukuhkan cabang-cabang, wanita dan AMK yang ada di negeri Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sangkar berkata, nama calon Pengerusi MPN yang baharu juga sudah dikemukakan kepada Presiden PKR.

Beliau berkata, mereka juga memberi jaminan untuk memastikan sokongan teguh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal Perdana Menteri Malaysia.

Dalam program berasingan, Pengerusi MPN Sabah, Datuk Christina Liew berkata, lantikan Pengerusi MPN adalah bidang kuasa Presiden PKR.

Beliau akan cuba mengenal pasti apa sebenarnya 16 ketua cabang dan pemimpin PKR ini mahu kerana pada masa ini, beliau terlalu sibuk bekerja bagi memperkukuhkan kedudukan parti di Sabah.

Ahli Parlimen Tawau berkata, kerisauannya pada masa ini adalah apabila tidak dapat membantu mempromosikan parti bagi berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya tidak mahu kejadian di Sarawak berulang semasa PRU dan itu kerisauan saya. Maka, saya mahu memberi fokus untuk membawa PKR terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kita mampu memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU-15. Ini keutamaan saya,” katanya.

Pada awal bulan ini, Ketua AMK Tawau, Tommy Thomas turut mendesak agar Christina Liew ditukar kerana sejak mengambil alih jawatan Pengerusi MPN Sabah, parti yang begitu dominan sebagai pembangkang di Sabah itu dilihat menjadi suram. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *