Pemandu Maut, 4 Cedera Nahas Tiga Kenderaan Di Jalan Lintas

Tiga buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Lintas berdekatan sebuah stesen minyak di Iramanis, di sini awal pagi tadi.

KOTA KINABALU: Kontraktor maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira 1 pagi itu membabitkan Toyota Hilux, Toyota Aristo dan BMW 530E.

Pemandu Toyota Hilux, Wilson Kong, 26, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Toyota Aristo, lelaki berusia 30 tahun parah dan penumpangnya, lelaki berusia 23 tahun cedera.

Pemandu dan penumpang BMW 530E berusia 26 dan 25 tahun turut cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati pemandu dan penumpang BMW 530E dan Toyota Aristo dari Inanam menuju ke rumah masing-masing di Likas dan Penampang melalui Jalan Lintas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika BMW 530E mengiringi belakang Toyota Aristo di lorong kanan, tiba-tiba kenderaan Toyota Hilux yang dipandu mangsa keluar daripada simpang laluan bertentangan secara mengejut, menyebabkan Toyota Aristo yang berada di hadapan tidak sempat mengelak daripada terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri Toyota Hilux menyebabkan Toyota Aristo terbabas ke bahu kiri jalan.

“Manakala BMW 530E yang berada di belakang Toyota Aristo juga tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian sisi kiri sebelah belakang Toyota Hilux menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu berpusing ke lorong kanan jalan dan pemandu tercampak ke parit kecil di pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, selepas kemalangan itu, Toyota Aristo terbakar di bahagian hadapan dan pemandu BMW 530E yang sedar kemudian bertindak segera menarik keluar pemandu dan penumpang Toyota Aristo yang tersepit di dalam kereta berkenaan.

“Dia turut membantu memadam api dengan dibantu seorang pekerja stesen minyak yang datang ke lokasi kemalangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

“Manakala pemandu dan penumpang kedua-dua kereta yang cedera dihantar ke HQE II menaiki ambulans yang tiba di lokasi untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut berkaitan kemalangan terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *