BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir di dua daerah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 1,435 mangsa, setakat 4 petang tadi, berbanding 1,958 mangsa sebelumnya.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah PPS yang dibuka setakat ini juga menurun kepada 15 lokasi bagi menempatkan 554 keluarga mangsa banjir.
Katanya, 11 PPS masih dibuka di daerah Tenom manakala dua lagi dibuka di daerah Beaufort bagi menempatkan mangsa di kawasan masing-masing.
“Setakat ini, PPS Dewan Kebudayaan Mandalom Lama, Tenom masih dibuka namun tiada mangsa ditempatkan di sini.
“Begitu juga dengan Rumah Kebudayaan Makakagas, Tenom yang masih dibuka dan bersedia untuk menerima mangsa banjir sekiranya perlu,” katanya.
Menurut sekretariat itu, bilangan mangsa terjejas berkurangan berikutan beberapa lokasi sudah kembali pulih.
Katanya, PPS Rumah Kebudayaan Maugus, Tenom, masih menempatkan paling ramai mangsa banjir iaitu sebanyak 231 individu membabitkan 73 keluarga.
“Ia diikuti oleh PPS Dewan Selagon, Beaufort, dan PPS Dewan Mini Jinuim Jimin dengan masing-masing mencatatkan 231 serta 139 mangsa,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost