Syarikat Telco Digesa Segera Atasi Masalah Talian Telefon, Internet Di Kampung Long Pasia

Masalah dihadapi Kampung Long Pasia di daerah Sipitang, Sabah itu difahamkan berpunca daripada kerosakan penjana kuasa menara telekomunikasi.

SIPITANG: Syarikat telekomunikasi digesa segera menyelesaikan masalah gangguan liputan talian telefon dan internet yang dihadapi oleh pengguna di beberapa kampung di daerah ini, termasuk Kampung Long Pasia yang terkenal sebagai tarikan pelancong.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Sindumin Sani Miasin berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah talian komunikasi sering terputus sejak kebelakangan ini.

“Antara kampung yang dilaporkan terjejas teruk adalah Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio, Kampung Ulu Bole, Kampung Meligan dan Kampung Iburuh. Masalah itu telah menjejaskan hubungan dan komunikasi lebih 1,000 penduduk kampung terlibat.

“Saya difahamkan masalah itu berpunca daripada kerosakan penjana kuasa menara telekomunikasi di Kampung Long Pasia dan Kampung Ulu Bole,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Daerah Sipitang terletak di kawasan pedalaman Sabah, iaitu kira-kira 144km ke arah selatan Kota Kinabalu, dan terkenal dengan kawasan tanah tinggi, antaranya Kampung Long Pasia.

Sani berkata, liputan talian telefon dan internet di kawasan berkenaan bergantung kepada menara telekomunikasi, namun memerlukan penjana kuasa bagi memastikan ia dapat beroperasi 24 jam.

“Kerosakan penjana kuasa menyebabkan talian komunikasi terputus. Berdasarkan aduan orang kampung, penjana kuasa di menara Kampung Long Pasia mengalami kerosakan sejak 8 April lepas, namun sehingga kini ia masih belum dibaiki,” katanya.

Disebabkan talian komunikasi terputus, katanya, penduduk Kampung Long Pasia terpaksa bergantung kepada Menara Kampung Long Mio bagi kes kecemasan.

“Sudah jatuh ditimpa tangga apabila difahamkan pada 25 April lepas, gangguan juga berlaku di Kampung Long Mio. Ini bermakna Kampung Ulu Bole, Kampung Meligan, Kampung Iburuh dan Kampung Long Pasia tiada liputan talian telefon dan internet.

“Masalah gangguan talian komunikasi di kampung berkenaan tiada kesudahan sejak sekian lama terutama di Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio dan sekitarnya.

“Gangguan ini turut menjejaskan proses pembelajaran pelajar sekolah,” katanya.

Jarak Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio dari Pekan Sipitang kira-kira 128km dan hanya boleh dihubungi menggunakan jalan balak yang kini dalam keadaan yang amat teruk, menyebabkan ia sukar dilalui walaupun menggunakan kenderaan berat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *