Jambatan Gantung Rosak Punca Murid Gadai Nyawa Ke Sekolah

Tangkap layar daripada video dikongsi pengguna Twitter, Luqman Long dan Adrian Lasimbang memaparkan murid SK Nangkawangan terpaksa meredah risiko ketika menyeberangi sungai ke sekolah.

NABAWAN: Penduduk Kampung Nangkawangan, di sini, terpaksa bergadai nyawa menyeberangi sungai selepas jambatan gantung yang menjadi penghubung utama mereka dihanyutkan banjir, bulan lalu.

Dua cara digunakan termasuk oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan, di sini, sama ada menggunakan rakit buluh atau zip line’ yang dihasikan penduduk kampung.

Dua video menunjukkan murid sekolah menaiki rakit dan tong yang digantung pada kabel sebelum ditarik seperti ‘zip line’ tular di media sosial sejak semalam hingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Ramai menyatakan kebimbangan mengenai kaedah menyeberang sungai digunakan itu kerana dianggap berbahaya, lebih-lebih lagi membabitkan murid sekolah.

Jurucakap penduduk Kampung Nangkawangan, Zazila Roslan, 30, berkata jambatan gantung di kampung berkenaan hanyut akibat banjir besar yang bulan lalu yang turut memusnahkan beberapa kemudahan lain termasuk jambatan konkrit.

“Banjir luar biasa itu berlaku ketika cuti sekolah dan apabila habis cuti, guru yang mengajar di beberapa sekolah di kawasan berkenaan terpaksa berjalan kaki kira-kira 18 jam demi memastikan mereka dapat sampai ke sekolah untuk mendidik anak-anak di situ dan ini sudah didedahkan di akhbar sebelum ini.

“Saya tahu perkara ini kerana ibu saya adalah guru di sebuah kampung di situ dan saya bersama pasukan Sukarelawan Anak Negeri Sabah juga pergi ke beberapa kampung berhampiran bagi misi menghantar bantuan,” katanya.

Zazila berkata, penduduk kampung memaklumkan wakil rakyat ada turun padang dan berjanji mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyediakan bot bagi kegunaan sementara penduduk.

Bagaimanapun, katanya bot dijanjikan belum ada menyebabkan penduduk kampung terpaksa berakit untuk ke seberang sungai dan jika keadaan sungai deras, mereka terpaksa menggunakan ‘zip line’.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata beliau sudah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudian bersetuju mengeluarkan peruntukan kecemasan bagi mengatasi masalah dan kerosakan akibat bencana alam itu.

“Sepasukan pegawai teknikal dari Unit Penyelaras Pelaksana dan Pejabat Daerah sudah melawat kawasan terbabit dua hari lalu dan kini, mereka sudah mula menyediakan laporan diperlukan.

“Saya juga akan bertemu penduduk kampung bagi membincangkan usaha membantu menyediakan pengangkutan lebih selamat kepada murid ke sekolah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *