Pejuang Diragui Dapat Sokongan Di Sabah, Kata Bung Moktar

Bung Moktar Radin memberitahu Mukhriz Mahathir bahawa rakyat Sabah tidak akan berminat mengundi Pejuang pada PRU15. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU : Pejuang dialu-alukan melebarkan sayapnya ke Sabah, tetapi diragui sama ada ia akan mendapat sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin.

“Kita adalah negara demokrasi. Kita tidak boleh menghalang hasrat mereka, jadi terpulang kepada Pejuang.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, berdasarkan pilihan raya di Semenanjung sebelum ini, Pejuang kalah teruk.

“Jika mereka masih mahu melebarkan sayap ke Sabah, saya boleh nampak rakyat Sabah tidak akan berminat,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media dan Tahfiz Pertubuhan Rumah Amal Selawat Nabi Sandakan, menurut laporan Daily Express.

Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata, parti itu berhasrat bertanding di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Pejuang Sabah yang akan dilancarkan pada 22 Mei ini, bercadang melebarkan sayapnya ke semua 25 kawasan Parlimen di Sabah sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang PRU15.

Ketika ini katanya, Pejuang mempunyai 16 cawangan di Sabah, menjadikannya negeri ketiga yang mempunyai jumlah ahli paling ramai selepas Kedah dan Selangor.

Menurut laporan Daily Express, Bung yang juga ketua Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, keputusan Umno mengekalkan setiap kerusi parti itu pada PRU15 telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno lalu.

Katanya, berdasarkan keputusan itu, Umno akan bersaing di semua kerusi Parlimen yang ditandinginya dalam pilihan raya lalu.

“Ini termasuk kerusi wakil rakyat kyang emudiannya melompat ke parti lain.

“Kita tidak boleh serahkan kerusi kita kepada mana-mana parti secara percuma. Mungkin kita boleh runding, tetapi Umno berkeras kerusi ini milik BN dan perlu ditandinginya.

“Keputusan ini disokong semua ahli Umno di peringkat akar umbi,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *