PKR Sabah Alu-Alu Kerjasama Dengan Warisan Pada PRU15

Christina Liew

TAWAU : PKR Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew berkata kerjasama itu penting bagi membentuk satu pakatan politik yang kuat dalam mengatasi pihak lawan sepertimana pada PRU ke-14 (PRU14), iaitu kerjasama Warisan Plus dan Pakatan Harapan Plus.

“Ada cakap-cakap Warisan akan jalan sendiri (bertanding sendirian) tetapi kita punya pandangan kita sentiasa alukan kerjasama kerana sudah sampai masa dan kita tidak boleh lawan sendiri sahaja, mesti bersama baru kita boleh bentuk kekuatan.

Lawan kita bukan alang-alang, mereka agak kuat maka kita kena bersatu bagi membolehkan kita fokus dan menang kerusi, harapnya kita boleh menang kerajaan balik…politik itu unik dan parti politik sentiasa ada pilihan,” katanya kepada pemberita selepas program agihan juadah berbuka puasa di sini hari ini. 

Ditanya sama ada akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tawau pada PRU15, Liew menjawab “mudah-mudahan” sambil berterima kasih kepada petugas Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau kerana bekerja keras memastikan kesejahteraan penduduk kawasan berkenaan.

Beliau berkata PKR Sabah masih belum menentukan jumlah kerusi akan ditandingi pada PRU akan datang, dan akan mengadakan perbincangan dengan rakan Pakatan Harapan iaitu DAP, Amanah dan UPKO bagi menghadapi PRU15.

Pada masa ini, PKR hanya mempunyai dua kerusi Parlimen di Sabah iaitu Liew (Tawau) dan Awang Husaini Sahari (Putatan). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *