KOTA KINABALU : Jaringan hatrik Amri Yahyah menyumbang kepada kemenangan pasukan Sabah FC ke atas Kedah Darul Aman FC, 4-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah malam ini.
Turun beraksi di halaman sendiri, anak buah Datuk Ong Kim Swee berhasil meletakkan Sabah di depan menerusi jaringan pembukaan oleh Amri pada minit ke-51 perlawanan.
Kedah terus dirundung malang apabila percubaan menjaringkan gol menemui jalan buntu, sekali gus memberikan kelebihan kepada The Rhinos apabila satu lagi jaringan terhasil menerusi sepakan percuma Park Tae Su selang lima minit kemudian.
Gol ketiga dan keempat daripada Amri, masing-masing pada minit ke-61 dan ke-72, memastikan Sabah dalam kedudukan selesa bagi memenangi perlawanan.
Di NEGERI SEMBILAN, Negeri Sembilan FC turut melakar kemenangan di halaman sendiri apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Negeri Sembilan membuka jaringan menerusi Herold Goulon pada minit ke-47 sebelum pihak lawan menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri Herold pada minit ke-74.
Penyerang dari Perancis itu bagaimanapun menebus kesilapannya dengan ledakan gol dua minit selepas itu, sekali gus memastikan kemenangan milik pasukan Hobin Jang Hobin.
Sementara itu, dalam saingan Liga Premier, PDRM FC tewas di tangan Kelantan FC 1-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Gol perlawanan terlebih dahulu dihasilkan skuad The Cops menerusi jaringan Azrie Reza Zamri pada minit ketujuh perlawanan, sebelum Kelantan menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi Nurshamil Ghani.
Kemaraan Kelantan diteruskan Nixon Guylherme yang menyumbat dua gol, masing-masing pada minit ke-68 dan minit ke-85.
Di TERENGGANU, Terengganu FC II dan Selangor FC masing-masing membawa bekalan satu mata apabila terikat 0-0 dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost