Hakim Tak Sihat, Bicara Kes Rasuah Bung & Isteri Tangguh

Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad hadir ke mahkamah hari ini.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan ke 9 Mei berikutan hakim yang mendengar kes tersebut tidak sihat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How semasa sebutan kes di hadapan hakim Azura Alwi.

“Hakim Rozina Ayob (yang mendengar perbicaraan kes ini) tidak sihat dan beliau telah diberikan cuti sakit (MC) selama seminggu. Oleh itu, kami mohon untuk mendapatkan tarikh lain bagi sambung bicara,” kata Law.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 9, 10, 17 dan 18 Mei ini.

Selain Law, pendakwaan turut dikendalikan TPR Mohd Sophian Zakaria dan Maziah Mohaide manakala Bung dan isterinya diwakili peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Pasangan suami isteri itu hadir ke mahkamah hari ini.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan bantahan yang dikemukakan pihak pembelaan berhubung aduan dibuat oleh Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Haris Ibrahim, 42, yang didakwa bersifat dengar cakap dan boleh memprejudiskan Bung.

Menurut Kumaraendran, aduan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.

Pada 3 Mei 2019, Bung, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *