1,500 Rumah Mesra SMJ Akan Dibina Di 73 DUN Sabah

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mengumumkan bahawa Geran Khas RM125.6 juta daripada Kerajaan Persekutuan akan digunakan bagi membina 1,500 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata Rumah Mesra SMJ yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT akan diagihkan secara sama rata ke semua kawasan DUN di Sabah.

“Keputusan ini adalah selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mereka akan berpeluang untuk mendapatkan rumah mampu milik.

“Dana yang lebih daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan lain-lain infrastruktur serta harta benda yang rosak akibat banjir,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menaikkan Geran Khas untuk Sabah 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juga bermula tahun ini.

Hajiji berkata ia suatu permulaan yang bagus untuk Sabah dalam masa sama memastikan dana itu akan digunakan sebaiknya demi kepentingan rakyat dan negeri.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) berazam untuk mendapatkan lebih lagi, menerusi perundingan yang masih berjalan bagi mendapatkan 40 peratus seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hajiji yang juga Ketua Bersatu Sabah berkata perkara itu merupakan antara kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri GRS-BN, hanya selepas memerintah selama tiga tahun. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *