KUALA LUMPUR: Kenaikan tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan bukanlah kejutan bagi rakyat Malaysia, tetapi ia adalah senario yang dijangkakan setiap tahun.
Dengan pembukaan semula sempadan negara dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, individu yang dua tahun tidak bertemu keluarga disebabkan sekatan Covid-19 sudah pasti teruja untuk pulang ke kampung halaman.
Syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching menawarkan tiket antara RM300 untuk penerbangan pergi balik semasa musim bukan perayaan.
Bagaimanapun, pemantauan Bernama di laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik), iaitu peningkatan sekitar 566% menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April-8 Mei).
Lily Surianti Suardi, 23, pelajar dari Sabah yang sedang mengikuti program ijazah di Universiti Selangor (UniSEL), berpendapat syarikat penerbangan harus mempertimbangkan untuk menetap kadar berasingan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Semenanjung.
Ini kerana, katanya, bukan semua pelajar dari keluarga berkemampuan, oleh itu syarikat penerbangan tidak boleh menetapkan harga melebihi kemampuan bagi semua pihak, terutama golongan pelajar.
“Jika harga tiket (kira-kira) RM1,000 hanya untuk harga tiket penerbangan, banyak pihak yang tidak mampu, lebih-lebih lagi ditambah dengan pendapatan keluarga ekonomi rendah.
“Ada yang datang daripada kalangan B40 ingin balik raya, namun disebabkan harga tiket melonjak naik, pelajar macam saya membatalkan hasrat untuk pulang beraya di kampung halaman,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Fatin Afiqah Yamin, 25, pula membeli tiket AirAsia ke Kuching pada awal Mac lalu dan dijangka berlepas pada 23 April nanti.
Eksekutif itu berkata, tiket itu dibeli awal untuk mengelakkan permintaan tinggi tiket pada musim perayaan kerana tempat duduk terhad.
“Sebagai perbandingan, tiket yang dibeli untuk tarikh tersebut adalah RM198, tetapi sekarang meningkat kepada RM318 apabila saya menyemak semula harga tiket hari ini.
“Jadi, (RM318) masih mahal dan perbezaannya besar daripada RM198 yang dibeli untuk penerbangan pergi balik,” katanya.
Sebelum itu, seorang pengguna Facebook dengan nama Fandyi Sanizan pada 6 April lalu membuat hantaran merayu syarikat penerbangan tempatan mengurangkan harga tiket penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sandakan.
Melalui syot kilat yang dihantar, ia menunjukkan tiket sehala AirAsia dari Kuala Lumpur ke Sandakan yang dijadualkan berlepas pada 30 April ini berharga RM1,049, manakala harga tiket pergi balik FireFly bagi laluan dan tarikh sama berharga RM1,400.
Pemerhatian Bernama berdasarkan komen pengguna kumpulan Facebook awam, AirAsia Flight Share Information pada 26 Mac lepas, yang bertanyakan ahlinya mengenai tiket penerbangan untuk perjalanan pulang beraya di Sabah, menunjukkan rata-rata membeli tiket itu seawal tahun lepas.
Seorang daripada pengguna itu yang menggunakan nama GJ Musang berkata: “Beli tahun lepas pergi balik untuk tiga orang RM1,682.”
Seorang lagi pengguna, Jue Dalilah berkata, keluarganya membeli tiket dua hala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk semua 18 ahli keluarga pada Disember lalu pada harga RM258 seorang (sehala RM129).
“Satu family balik beraya, dah berapa tahun tak dapat balik…time beli tu berbelah bahagi juga, takutlah ada apa-apa lagi musim pandemik ni kan…nasiblah beli saja hari itu. Telah beberapa tahun kami tidak pulang (ke Tawau) untuk sambutan Hari Raya,” katanya.
Pada 27 Nov lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, syarikat penerbangan perlu mencari jalan tengah bagi menyelesaikan isu kenaikan harga tiket ke Sabah dan Sarawak, khasnya menjelang cuti akhir tahun dan musim perayaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sememangnya memahami kekangan perniagaan dihadapi syarikat penerbangan disebabkan Covid-19 yang menjejaskan operasi serta pendapatan syarikat, dan tidak akan campur tangan dalam urusan syarikat penerbangan dengan menetapkan harga siling tertentu. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost