Budak Rentung Terperangkap Dalam Kebakaran Di Lahad Datu

Keadaan dua rumah yang musnah dalam kebakaran dan mengorbankan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di Lahad Datu. -Foto BOMBA

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki rentung selepas dipercayai gagal keluar menyelamatkan diri dari rumahnya yang terbakar di Kampung Tanjung Labian, Sungai Bilis di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh, 9, ditemui rentung dalam satu daripada dua rumah yang musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Pasukan Bomba Bantuan Felda Sahabat dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.43 tengah hari, kebakaran didapati membabitkan dua rumah jenis tidak kekal, masing-masing berkeluasan 83 meter persegi dan 185 meter persegi.

“Operasi pemadaman hanya memastikan api benar-benar terpadam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dpercayai terperangkap.

Sumsoa berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut manakala operasi ditamatkan pada 2.30 petang. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *