Cuaca Tidak Menentu, Penduduk Tuaran, Kota Belud Diarah Berjaga-Jaga

Gambar Hiasan

TUARAN: Sebanyak 23 kawasan di daerah ini dan Kota Belud yang terjejas akibat banjir kilat dipantau selepas hujan lebat berterusan selama lima jam sejak jam 5 petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tuaran, Paulina Francis berkata, keadaan banjir di enam kawasan Tuaran adalah terkawal dan pihaknya menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk.

Katanya, sehingga 12.30 tengah hari tadi, 10 mangsa terdiri satu keluarga membabitkan lapan dewasa dan dua kanak-kanak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Tinuhan, Tenghilan.

“Sebuah rumah di Kampung Tinuhan dilaporkan roboh, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dan penghuni juga berpindah ke rumah saudara terdekat.

“Manakala satu jalan terputus di Jambatan Tamparuli dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat dilimpahi air Sungai Tuaran,” katanya.

Menurutnya, selain kampung Tinuhan Tenghilan, empat lagi kawasan terbabit banjir adalah Pekan Tenghilan, Kampung Bunga, Kampung Suang Bangau dan Kampung Paruh.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Belud, Jimmy Alberto Tining berkata, air Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kadamaian meningkat sehingga mencecah paras berjaga-jaga sekitar 4.80 meter.

“Air ketiga-tiga sungai berkenaan melimpah ke darat mengakibatkan 17 kampung terjejas, namun keadaan masih terkawal.

“Setakat ini, APM menerima maklumat terdapat 11 penduduk dipindahkan pasukan bomba ke rumah saudara terdekat di Kampung Lentigi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *