Kim Swee Mahu Anak Buah Kekalkan Kemenangan Dalam Aksi ‘Borneo Derby’

Datuk Ong Kim swee

KOTA KINABALU, 9 April : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya mengekalkan rentak kemenangan apabila berdepan Sarawak United dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Beliau berkata skuad The Rhinos perlu bersedia mempamerkan komitmen tinggi sekali gus mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan Melaka United FC pada Selasa lepas bagi menghasilkan keputusan positif di Kuching.

Ketua Jurulatih Sabah FC itu berkata pertembungan ‘Borneo Derby’ itu satu aksi lebih mencabar apabila sejarah perlawanan sebelum ini kerap kali mendatangkan keputusan yang cukup tipis.

“Kita bermain di tempat lawan lebih-lebih lagi berdepan tuan rumah Sarawak United. Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada mereka. 

“Pertemuan malam esok dilihat sangat penting untuk kedua-dua pasukan kerana skuad Sabah FC ingin meneruskan rentak kemenangan manakala Sarawak United pula ingin mencatat kemenangan pertama selepas hanya mampu mencuri satu mata dalam tiga perlawanan Liga Super,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kemungkinan besar barisan pemain yang diturunkan pada malam esok adalah sama ketika menewaskan Melaka United FC dan berharap ia dapat mencapai matlamat mengutip tiga mata penting.

“Kita ingatkan agar semua pemain menggalas tugas serta fokus kepada perlawanan penting dengan tidak mengulangi kesilapan sehingga menghasilkan keputusan yang mengecewakan malam esok,” katanya.

Sabah FC kini berada di kedudukan keempat liga dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan dan satu kalah daripada tiga perlawanan setakat ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *