Polis Ditemukan Rentung Dalam Bilik

Anggota bomba dan polis di lokasi kejadian. – Foto BOMBA

TAWAU: Anggota polis, Koperal S Yogeswaran, 35, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, ditemukan rentung di sebuah bilik di Taman King Fook, Jalan Utara, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephen berkata, pihaknya menemukan mayat itu ketika operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.17 pagi.

“Seramai 14 anggota bersama dua jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke sebuah rumah di Taman King Fook, bagaimanapun sebaik tiba di situ kebakaran membabitkan sebuah bilik itu sudah dipadamkan sebelum jentera tiba.

“Pasukan bomba bertindak membuka pintu utama rumah berkenaan untuk pengudaraan sebelum menemukan mayat lelaki di bilik berkenaan dalam keadaan rentung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan di tempat kejadian dan dalam kalangan saksi masih dijalankan, termasuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kenyataan rasmi mengenai perkara ini akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *