Yasin Sulaiman Kirim Salam Kepada Syed Saddiq, Bakal Didakwa Tanam Ganja Dalam Rumah

Yasin tiba di komplaks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi Khamis.

KUALA LUMPUR : Kirim salam kepada Syed Saddiq. Demikian pesanan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman kepada wartawan ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi Khamis.

Yasin adalah individu yang ditahan kerana mengusahakan ‘ladang mini’ tanaman ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Penyanyi dan komposer itu akan didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah berbahaya.

“Kirim salam pada YB Syed Sadiq, minta dia segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen,” kata Yasin kepada pihak media.

Sebelum ini mStar melaporkan kejayaan polis membongkar kegiatan komposer berkenaan menanam pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara.

Dalam serbuan pada 24 Mac lalu, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Rampasan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM10,200.

Suspek berusia 47 tahun itu didapati positif tetrahydrocannabinol dan mempunyai sejarah penglibatan dadah sekurang-kurangnya 10 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori. – mStar

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *