Sabah Mahu Kerajaan Pertimbang Keputusan Tangguh Pembinaan CIQ Kalabakan

Kerajaan Sabah akan berbincang dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan tidak berlaku penangguhan pembinaan kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, Kalabakan, kata Ketua Menterinya, Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Sabah mahu kerajaan persekutuan mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan pembinaan kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, Kalabakan, selepas peruntukannya diumum dalam Belanjawan 2020.

Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata pembinaan CIQ itu adalah projek yang amat penting untuk Sabah kerana menjadi laluan sempadan antara negeri itu dan Nusantara di Kalimantan Timur, yang akan menjadi ibu negara baharu Indonesia.

“Kita akan berbincang dengan pihak persekutuan kerana bagi kita ini adalah satu projek yang cukup penting dan tidak boleh ditangguhkan. Projek ini amat perlu bagi Sabah supaya satu laluan yang boleh digunakan untuk mereka (pengunjung) masuk ke Sabah atau ke Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, projek itu seharusnya menjadi keutamaan kerajaan persekutuan agar kemasukan pengunjung ke Sabah dari kawasan Kalimantan terkawal, selain mengelak wujudnya laluan tikus jika pembinaan ditangguhkan.

Ahad lalu, Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, berkata keputusan menangguhkan pembinaan CIQ itu dilihat bakal merugikan ekonomi Sabah berikutan tempias ekonomi boleh diperoleh Sabah terutama di pantai timur apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan Timur.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof yang menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen dilaporkan, berkata pembinaan CIQ di Kalabakan yang bernilai RM600 juta ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan rundingan bersama kerajaan persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas kepada Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.

“Bagi tahun 2021, kerajaan negeri telah menerima sejumlah RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) yang merupakan peningkatan sebanyak 12.9%, berbanding 2020,” katanya.

Pada majlis itu, beberapa perjanjian ditandatangani antaranya kerjasama pelaksanaan polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah dan perjanjian pelaksanaan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) Sabah melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, beberapa syarikat pelabur turut menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri seperti perjanjian subpajakan dengan Petroventure Energy (PESB) melibatkan loji penyimpanan dan penapisan minyak petroleum dengan pelaburan RM6 bilion serta Memorandum Persefahaman SISMA Energy melibatkan bekalan gas asli jangka panjang dan terjamin dengan pelaburan RM5 bilion. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *