Bung Mahu Pentadbiran Sabah Dikenali Kerajaan GRS-BN

Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN Sabah berkata Umno negeri akan berbincang dengan rakan mereka dalam GRS sama ada akan bekerjasama, menjelang pilihan raya umum.

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin, mahu pentadbiran negeri dinamakan sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau sudah mencadangkan penggunaan nama terbabit secara tidak rasmi kepada kepimpinan GRS, bertujuan mencerminkan gabungan sebenar parti yang membentuk kerajaan negeri.

Walaupun BN bukan sebahagian daripada komponen GRS yang kini sudah berdaftar secara rasmi, beliau berkata, partinya kekal menyokong GRS sebagai parti membentuk kerajaan, selain sebagai rakan politik yang menang, pada pilihan raya negeri lalu.

“Nama GRS-BN sudah ‘propose’ (cadang), tapi ‘unofficial’ (tidak rasmi) dan saya katakan tidak adil bagi BN kalau tidak disebut.

“Sebab kita bukan dalam GRS, kita cuma mendukung kepimpinan GRS dalam pentadbiran negeri,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis, di sini, hari ini.

Menjawab kepada soalan dibangkitkan, Bung berkata, Umno tidak dapat menjadi sebahagian daripada gabungan rasmi lain selain BN. Justeru, menjadikan Umno bukan sebahagian komponen GRS.

Ketua Menteri yang juga pengerusi pro-tem GRS, Hajiji Noor, sebelum ini, mengumumkan hanya empat parti sahaja menganggotai dalam gabungan baharu didaftarkan itu.

Parti berkenaan membabitkan Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Sebelum didaftarkan, GRS dibentuk merangkumi Perikatan Nasional, BN dan PBS. Parti terbabit bekerjasama walaupun dalam keadaan longgar dan berjaya menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Warisan, dalam pilihan raya negeri, pada 2020.

Hajiji berkata, ketiadaan Umno dan rakan politik lain dalam BN dalam GRS yang secara rasmi didaftarkan tidak akan menjejaskan pelan memastikan kestabilan politik di negeri berkenaan kekal.

Dalam pada itu, Bung berkata, Umno Sabah akan berbincang bersama GRS tidak lama lagi sama ada mereka akan bekerjasama menjelang pilihan raya umum di negeri itu.

Beliau berkata, adalah jelas Umno dan Bersatu tidak sama sekali akan bekerjasama antara satu sama lain.

“Kita akan bincang dengan presiden (Zahid Hamidi) pada Isnin untuk mendapat pandangan ke arah bagaimana Umno dan BN Sabah ini melaksana tanggungjawab dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan lepas itu barulah kita ambil keputusan langkah terbaik untuk tentukan berhadapan PRU15,” katanya.

Mengulas berhubung kemungkinan BN bekerjasama dengan Warisan, menjelang PRU15, Bung berkata, tiada apa yang mustahil dalam politik.

“Kalau kita tutup pintu itu bukan politik. Kita terbuka tapi keutamaan kita bincang dengan GRS,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Warisan Shafie Apdal, berkata partinya terbuka untuk membentuk kerjasama politik menjelang PRU15.

Shafie berkata, ia termasuk bekerjasama dengan GRS dan BN, sekiranya perlu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *