Tuntutan Tambah Kerusi Parlimen Sabah & Sarawak Dibincang – Maximus

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) akan berbincang lanjut dengan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan berhubung tuntutan menambah kerusi Parlimen bagi dua negeri itu daripada 25 peratus sedia ada kepada 35 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata sejak kebelakangan ini, penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak menuntut semakan semula bilangan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri terbabit.

“Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15, mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.

“Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Berdasarkan pengiraan semasa, daripada 222 kerusi parlimen, 166 atau 75 peratus berada di Semenanjung, manakala baki 56 kerusi adalah untuk negeri Borneo, dengan Sarawak (31) dan Sabah (25).

Dalam pada itu, Maximus menjelaskan, bahawa cadangan pemulihan kerusi terbabit telah diperakui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri semasa menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu.

“Saya juga ingin mencadangkan agar semua Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak membincangkan tuntutan ini secara terbuka serta teratur dan keputusan diambil bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan berhubung dengan Ahli Parlimen dari dua negeri terbabit bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

“Tuntutan juga harus dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak. Tugas utama adalah untuk meyakinkan SPR keperluan bagi memulihkan bahagian asal kerusi Ahli Parlimen untuk Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *