GRS Tanpa Penyertaan BN & PAS

(Dari Kiri) Yong Teck Lee, Dr Maximus, Hajiji Noor dan Dr Jeffrey Kitingan menunjukkan logo GRS Sabah selepas mesyuarat pertama gabungan parti itu semalami. – Gambar BERNAMA

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN Sabah terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor berkata, BN hanya akan menjadi rakan kerjasama gabungan politik itu dalam mentadbir kerajaan Sabah, manakala kerjasama dengan Pas adalah melalui Perikatan Nasional (PN).

“Jadi kita berharap dengan gabungan ini, satu kestabilan politik Sabah akan dapat kita harapkan untuk kepentingan perpaduan dan kerjasama parti yang ada,” kata Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penaja GRS, yang turut dihadiri Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Ahad lalu (13 Mac), Hajiji dilaporkan berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pendaftaran GRS sebagai badan gabungan parti politik rasmi di negeri itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 (26 Sept 2020), GRS yang ketika itu bukan gabungan rasmi, membentuk kerajaan Sabah setelah menguasai 38 kerusi Dewan Undangan Negeri apabila PN memenangi 17 kerusi (Bersatu 11 kerusi dan Star 6 kerusi), BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

Pada 9 Jan tahun lalu, parti yang membentuk GRS itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama selain, menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan tersebut.

Sementara itu, Hajiji berkata, semua parti komponen GRS akan menggunakan logo dan bendera rasmi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Mengulas mengenai parti yang berhasrat menyertai GRS, beliau berkata, sebuah jawatankuasa dibentuk bagi menilai permohonan parti lain untuk bersama-sama GRS, antaranya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang membuat permohonan itu sejak tahun lalu.

Ditanya mengenai impak situasi politik di Semenanjung kepada Sabah, Hajiji berkata, perkembangan yang berlaku di Semenanjung terutama ketika PRN Melaka dan PRN Johor baru-baru ini, dilihat tidak memberi impak besar kepada politik Sabah.

“Politik ini ada macam-macam kemungkinan, saya melihat apa berlaku di Semenanjung, di Melaka dan Johor, saya fikir tidak sama dengan keadaan politik di Sabah,” katanya yang turut mengumumkan barisan

Majlis Tertinggi GRS hari ini:

Pengerusi: Datuk Hajiji Noor

Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee.

Setiausaha Agung: Datuk Masidi Manjun

Ketua Penerangan: Datuk Joniston Bangkuai

Bendahari Agung: Ardino Diris

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *