Laungan ‘Bubar Parlimen’ Iring Kemenangan BN

JOHOR BAHRU: Laungan ‘Bubar Bubar Bubar Parlimen’ berkumandang di pusat gerakan Barisan Nasional, sejurus keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu menawan Johor dengan majoriti 2/3 pada PRN malam ini.

Penyokong Umno rata-rata teruja dengan keputusan itu dan menyertai pemimpin Umno dalam mendesak supaya PRU disegerakan. Laungan itu semakin lantang di hadapan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mahukan PRU15 disegerakan demi ‘memulihkan kestabilan politik negara’ yang terjejas sejak 2020 susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun parti lawan seperti Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak mahu PRU diadakan lebih awal, khususnya semasa negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Malah PH menawarkan untuk melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan syarat PRU15 tidak diawalkan.

Penyokong di bilik gerakan BN memancarkan sentimen akar umbi yang mahu pimpinan Umno menggunakan kemenangan besar di Johor malam ini dan Melaka sebelumnya untuk menyusun langkah memastikan kemenangan pada PRU15.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *