Sabah FC Raih Tiga Mata Di Likas

Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani (tiga dari kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menentang PJ City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Likas, malam ini.

KOTA KINABALU: Sabah akhirnya mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan PJ City FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini malam ini.

Kemenangan itu sekali gus mengubati kekecewaan penyokong skuad Sang Badak selepas tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) di tempat sama pada aksi pertama, Jumaat lalu.

Dua daripada gol kemenangan Sabah itu terhasil pada babak pertama, manakala satu lagi pada separuh masa kedua.

Secara keseluruhan Sabah lebih banyak melakukan serangan dan percubaan sepanjang perlawanan selain mempamerkan permainan yang lebih agresif.

Dua gol Sabah pada babak pertama disudahkan menerusi tandukan dua pemain import skuad Sang Badak, Jackson De Souza pada minit ke-16 dan Netto Pesoa (m-35).

Menariknya, kedua-dua gol berkenaan terhasil menerusi tendangan percuma dan sepakan sudut yang diambil Baddrol Bakhtiar sebelum disambut oleh Jackson dan Netto bagi masing-masing meledak gol.

Bagaimanapun, harapan Sabah untuk mengekalkan keputusan 2-0 itu sehingga tamat babak pertama tidak kesampaian apabila pemain PJ City, S Kumaahran berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menangkap bola kemas pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Sabah kembali dengan aksi agresif dalam usaha untuk menambah gol dan berjaya memperolehnya pada minit ke-47.

Gol itu berpunca daripada sepakan percuma pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani dari luar kotak penalti yang menuju ke penjuru gawang tanpa sempat dihalang penjaga gol PJ City, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *