Sabah Dapat Manfaat Besar Apabila Sempadan Dibuka Semula, Kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, negeri itu bakal mendapat manfaat besar apabila sempadan negara dibuka semula bermula 1 April depan.

Katanya, langkah itu bakal menghidupkan semula industri pelancongan Sabah yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 yang melanda negara sejak hampir dua tahun lalu.

Tambah beliau, ekonomi Sabah terjejas teruk sejak penutupan sempadan antarabangsa kira-kira dua tahun lalu kerana pelancongan adalah antara sumber pendapatan utama negeri.

“Sabah telah bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan pastinya ini akan membantu ekonomi negeri.

“Bagaimanapun, kita akan menunggu pengumuman terperinci di peringkat negeri supaya ia boleh menyelaraskan SOP (prosedur operasi standard) untuk memenuhi keadaan serta keperluan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, pemain industri pelancongan sebelum ini sering mendesak supaya sempadan negara dibuka semula kepada pelancong asing.

“Baru-baru ini saya juga telah mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk K L Tan yang telah merayu untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam satu pengumuman khas semalam berkata, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah boleh masuk dan keluar negara seperti yang dilakukan sebelum pandemik itu.

Katanya, pengembara yang telah mendapat vaksin penuh juga tidak perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia, sebaliknya, mereka hanya perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas dan ketika ketibaan.

Ismail berkata, keputusan untuk membuka semula sempadan dibuat berdasarkan “sains dan fakta terkini” mengenai Covid-19, dengan menyatakan bahawa negara lain juga telah mula membuka sempadan mereka.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *