Lelaki Cari Kerang Maut Dipercayai Dibaham Buaya

Gambar Hiasan

PITAS: Seorang lelaki maut dipercayai dibaham buaya ketika mencari kerang di muara sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu menerima laporan kejadian itu daripada Balai Polis Pitas, pada 1.30 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota BBP Kota Marudu bersama kenderaan pacuan empat roda dikerah ke lokasi kejadian untuk pengesahan dan mendapat maklumat awal.

“Pada 4.30 petang tadi, bilik gerakan BBP Kota Marudu menerima laporan daripada Balai Polis Pitas berhubung penemuan mayat mangsa.

“Mayat disahkan selepas mendapat pengesahan daripada keluarga mangsa bersama polis di Pulau Sibago,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun katanya, maklumat mangsa tidak dapat diperoleh disebabkan keluarga mangsa enggan memberi kerjasama.

“Operasi seterusnya ditamatkan pada 4.30 petang,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *