Putin Arah Pasukan Nuklear Siap Siaga

Moscow mempunyai senjata nuklear kedua terbesar di dunia selain sejumlah besar misil balistik dan senjata nuklear yang menjadi tulang belakang pasukan pencegahan negara itu. – Foto: Agensi

MOSCOW : Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan pasukan nuklear strategik berada dalam keadaan siap siaga pada Ahad selepas pemimpin tersebut mendakwa Barat mengambil langkah ‘tidak mesra’ terhadap Moscow dengan melaksanakan siri sekatan ekonomi yang disifatkan sebagai tidak sah.

“Saya telah mengarahkan Menteri Pertahanan dan Ketua Turus Am Angkatan Tentera Rusia untuk meletakkan mereka dalam mode khas perkhidmatan tempur,” ujarnya yang dijangka mengeruhkan lagi konflik bersama Ukraine.

Menurutnya, pegawai kanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga sengaja membiarkan perang retorik secara agresif dilancarkan ke atas Rusia sejak ia mula melancarkan kempen serangan secara besar-besaran pada Khamis lalu.

Sebagai respons, Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu menyatakan beliau akur dengan arahan tersebut.

Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Difahamkan, Moscow mempunyai senjata nuklear kedua terbesar di dunia selain sejumlah besar misil balistik dan senjata nuklear yang menjadi tulang belakang pasukan itu.

Perkembangan yang semakin membimbangkan itu diumumkan selepas Ukraine akhirnya bersetuju untuk mengadakan rundingan bersama Rusia di sempadan Belarus di kawasan terletak berhampiran zon pengecualian Chernobyl.

Persetujuan itu dicapai selepas panggilan telefon antara Presiden Belarus, Alexander Lukashenko dan rakan sejawatannya di Kiev, Volodymyr Zelenskyy selepas delegasi Moscow dikatakan kini berada di bandar Gomel.

“Kedua-duanya sepakat dialog tanpa prasyarat itu diadakan di kawasan sempadan Minsk-Kiev berhampiran Sungai Pripyat,” kata pejabat Presiden Ukraine dalam satu kenyataan. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *