Kereta Bau Busuk, Rupanya Ada Mayat…

Pasukan polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta di Kampung Lakang, Tuaran susulan mayat seorang lelaki ditemui di dalamnya, pada Ahad.

TUARAN : Kehilangan seorang warga emas sejak Sabtu lalu terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Kampung Lakang, di sini, pada Ahad.

Mayat lelaki berusia 62 tahun itu ditemui oleh pemilik kenderaan terbabit selepas terhidu bau busuk pada jam 6.42 petang sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, selepas menerima makluman berhubung penemuan mayat itu, sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati pemanggil adalah pemilik kenderaan yang menemui mayat berkenaan selepas terhidu bau busuk dari arah keretanya.

“Setelah menghampiri kereta dan membukanya, terdapat seorang lelaki lengkap berpakaian terbaring dan dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Menurutnya, semakan lanjut dan pengecaman mendapati mangsa adalah lelaki dilaporkan hilang oleh isterinya sebelum ini.

“Mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Tambalugu, kira-kira jam 4 pagi Sabtu dan mangsa yang mempunyai penyakit demensia sering hilang ingatan serta masuk ke dalam kenderaan orang lain.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada unsur jenayah ditemui berhampiran mayat mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hamizi meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh memaklumkannya kepada pihak polis di talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977.- SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *