“Melayu Tak Mati Kalau Tak Undi Keris, Islam Tak Mati Kalau Tak Undi Bulan” – Shafie

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal

KULAI: “Orang Melayu tidak mati kalau tak undi keris, Islam tidak mati kalau tidak undi bulan, Cina tidak mati kalau tak undi roket. Jadi rakyat jangan terpedaya dengan bendera dan logo sebaliknya ukur manusia daripada amalan mereka,” itu kata Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Katanya, rakyat khususnya pengundi Johor  juga tidak perlu bimbang untuk menukar undi daripada parti yang biasa diundi mereka kepada Warisan dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

Katanya, walaupun tidak banyak kerusi ditandingi Warisan, sasarannya adalah untuk menjadi pembangkang yang kuat di Johor.

“Kita akan mulakan kebangkitan rakyat di negeri ini sebelum kita sasarkan untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Beliau berkata demikian pada pengumuman calon parti itu yang bertanding di PRN Johor di sini hari ini.

Dalam pengumuman itu Shafie berkata,  Warisan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

“Pengundi di sini tidak perlu risau kerana calon kita adalah calon tempatan dan orang muda, bukan orang Sabah,” katanya.

Turut hadir, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dan Pengerusi Warisan Negeri Johor, Suhaimi Salleh.

Shafie turut memberitahu, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi dan calon-calon mereka akan diumumkan dalam tempoh sehari dua ini.

Dalam majlis berkenaan, Mohd. Shafie turut menerima 1,000 borang keahlian bagi menyertai parti berkenaan. Ini termasuk daripada bekas ahli UMNO, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah itu memberitahu, Warisan turut berminat untuk meletakkan calon di kerusi DUN Permas. Kawasan itu mempunyai komuniti masyarakat Borneo yang besar selain DUN Johor Jaya dan Pekan Nanas. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *