SUSULAN serangan Rusia ke atas Ukraine, beberapa buah jet pejuang dilihat terbang di ibu negara Kyiv sebentar tadi ketika siren serangan udara kedengaran dengan sangat kuat, lapor NewsX.
Memetik laporan CNN, letupan pertama di bandar itu berlaku sejurus selepas jam 5 pagi pada Khamis, sekaligus menamatkan sebarang spekulasi mengenai tindakan yang ingin dilakukan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Beberapa minit sebelum itu, Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine.
Difahamkan, letupan itu datang agak jauh dari pusat bandar, tetapi jelas kedengaran di seluruh ibu negara Ukraine, dengan bunyi bising yang memecah kesunyian awal pagi.
Sementara itu, penduduk Kyiv telah diarahkan untuk tinggal di rumah dan mengemas barang keperluan, takut-takut jika mereka perlu pergi secara tiba-tiba.
Ibu bapa juga telah mesej yang memaklumkan bahawa mereka mesti tinggal di rumah dan tidak menghantar anak-anak ke sekolah. Sebaliknya, menjalani kelas secara dalam talian.
Walaupun jalan di pusat bandar tenang dan sunyi, lebuh raya yang menghala dari Kyiv jauh lebih sibuk daripada biasa dengan lalu lintas sesak menghala ke barat laut.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Kharkiv telah menggesa penduduk untuk tinggal di rumah kerana letupan dan bunyi artileri dilaporkan berlaku di seluruh negara.
“Tolong jangan tinggalkan rumah anda hari ini. Disebabkan situasi yang rumit, sekolah, tadika dan institusi lain tidak berfungsi hari ini sehingga keadaan kembali menjadi lebih tenang,” katanya.
#UkraineRussiaCrisis | Air raid sirens all over Kiev now as fighter jets fly over the capital. Ukraine is under attack. pic.twitter.com/OVPrzSugcS
— NewsX (@NewsX) February 24, 2022