Peguam Positif Covid-19, Bicara Kes Rasuah Bung Moktar & Isteri Ditangguh

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad berdepan tuduhan rasuah berhubung pelaburan dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan dalam unit amanah Public Mutual Berhad setelah seorang peguam yang mewakili Zizie disahkan positif Covid-19.

Peguam Ridha Abdah Subri yang hadir bagi pihak Bung dan Zizie memberitahu hakim Rozina Ayob bahawa peguam Zizie disahkan positif pada 20 Feb dan dikuarantin hingga Sabtu ini.

“Seorang lagi peguam yang mewakili Zizie Izette, K Kumaraendran dan M Athimulan yang mewakili Bung Moktar adalah kontak rapat kepada peguam berkenaan dan turut dikuarantin,” kata Ridha Abdah.

Pasangan suami isteri itu hadir pada prosiding hari ini yang ditetapkan bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk menyoal balas seorang saksi utamanya, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, yang juga saksi pendakwaan ke-25.

Rozina kemudian menetapkan 3 Mac ini untuk mendengar permohonan pendakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.

Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How.

Pada 3 Mei 2019, Bung mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam Unit Amanah Public Mutual.

Bung, 64, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *