RUU Anti Lompat Parti Wajar Disegerakan – UPKO

Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini adalah tepat mengikut semangat memorandum persefahaman (MoU), yang telah ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos lalu.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kenyataan itu selaras dengan pendirian yang diketengahkan oleh PH dalam pertemuan dengan beliau, di mana PH telah menegaskan bahawa RUU ini perlu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, menurut Wan Junaidi, keputusan itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, yan dilihat wajar dan menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri menunaikan janji beliau dan pendirian PH.

Katanya, pada pandangan PH, pembentangan RUU ini tidak wajar ditangguh dan dilewatkan kerana rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Pengumuman Wan Junaidi juga dengan sendiri menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa RUU ini tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Pusat tidak serius dan MoU yang dimeterai oleh PH tidak bernilai dan tidak bertaring.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *