Penerima Sinovac Tetap Perlu Ambil Dos Penggalak

Khary Jamaluddin

BATU PAHAT: Penerima vaksin jenis Sinovac tetap perlu mendapatkan suntikan penggalak masing-masing bagi memastikan mereka terus berstatus lengkap divaksin sebelum 1 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian menerima apa sahaja pandangan yang diberikan pelbagai pihak, namun arahan semasa berkaitan penerima Sinovac adalah kekal.

“Ya, tidak mengapa itu pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kita ambil maklum,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan (Peka) B40 di sini, hari ini.

Kelmarin, Presiden MMA, Dr. Koh Kar Chai berkata, persatuan itu berpandangan mereka yang telah mengambil dua dos suntikan vaksin Sinovac masih dikategorikan sebagai telah lengkap divaksinasi.

Sementara itu, beliau mengakui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada paksaan untuk ibu bapa mengambil vaksin kepada anak-anak mereka termasuk kepada golongan dewasa.

“Apa Perdana Menteri kata memang betul. Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) atau mana-mana vaksin tak pernah diwajib cuma untuk orang dewasa kalau tidak dapat vaksin penuh akan ada beberapa kemudahan tak dapat dilakukan atau tak boleh pergi tempat tertentu misalnya.

“Tetapi (kaedah) ini bukan di Malaysia sahaja, di negara lain kalau nak melancong juga ada yang letak syarat vaksin dan sebagainya. Kita bukan satu-satu negara yang bagi kebebasan kepada merek yang divaksin penuh.

 “Cuma untuk kanak-kanak dan remaja kita tak ada apa-apa syarat, contoh kalau dewasa nak pergi kedai makan mesti vaksin penuh tetapi kalau anak dia remaja atau kanak-kanak tak perlu,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, kementerian akan memperkasa segala maklumat mengenai pemberian vaksin kepada kanak-kanak memandangkan masih ramai ibu bapa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

“Saya harap janganlah terlalu lama sangat ambil pendekatan tunggu dan lihat kerana saya tidak mahu anak-anak kita terdedah kepada Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memaklumkan belum ada sebarang syor daripada kumpulan pakar untuk proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

“Kita ada kumpulan kerja teknikal yang sentiasa beri nasihat kepada kita tentang kesesuaian vaksin dan jenis-jenis vaksin yang kita guna di Malaysia. 

“Terdapat dua proses iaitu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan pandangan kumpulan pakar. Kumpulan pakar sedang perhalusi data untuk vaksin bagi golongan kanak-kanak bawah lima tahun dan belum ada apa-apa syor lagi kepada kementerian,” katanya. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *