Kes Covid-19 Babit Kanak-Kanak Sabah Masih Tinggi – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kes baharu Covid-19 tinggi membabitkan kanak-kanak berumur bawah 11 tahun dan belum divaksin.

Ia membabitkan 673 kes atau 12.56 peratus berbanding keseluruhan 5,395 kes yang direkodkan hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 673 kes itu, 283 adalah kanak-kanak berusia bawah lima tahun, manakala 390 orang berumur antara lima hingga 11 tahun yang sudah layak divaksin tetapi tidak menerimanya.

“Ibu bapa amatlah disarankan agar membawa anak mereka yang layak untuk divaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan atau kesan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah kes harian dilapor hari ini menurun 206 kes berbanding semalam dengan 99.66 peratus pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

Katanya, sembilan kes dalam Kategori 3, empat kes Kategori 4 dan Kategori 5 (lima kes).

Menurutnya, Kota Kinabalu kekal dengan jumlah harian kes tinggi iaitu 1,326 kes, diikuti Penampang (583), Tuaran (494), Putatan (457), Papar (293), Lahad Datu (244), Tawau (243), Beaufort (233), Sandakan (207), Kota Belud (203), Keningau (166), Kota Marudu (150) dan Ranau (147).

“Kita boleh simpulkan bahawa jumlah kes harian yang tinggi setiap hari berpunca daripada jangkitan dalam komuniti yang sukar dibendung, jadi cara terbaik ialah elak daripada berada di tempat ramai seperti tempat awam yang sesak dan patuh kepada SOP serta nasihat kesihatan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *