Rasuah, Bekas Pengurus Kanan SESB Dipenjara 11 Bulan

Tertuduh yang berkemeja biru (kiri) keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara 11 bulan kerana menerima rasuah.

KOTA KINABALU: Bekas Pengurus Kanan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM59,000 pada 2017.

Sufian Abdul Ghani, 51, membuat pengakuan itu selepas pendakwaan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Sufian yang sebelum ini merupakan Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai RM59,000 secara berasingan pada 9 Mac, 4 Mei dan 16 Okt 2017 daripada sebuah syarikat sebagai dorongan agar segala urusan tuntutan kerja yang dilakukan syarikat terbabit kepada Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB berjalan lancar.

Wang itu juga bagi memastikan syarikat berkenaan mendapat projek kerja kecemasan daripada jabatan terbabit.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan. Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM220,000 atau penjara tiga bulan, jika gagal membayarnya.

Bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 atau penjara sebulan, jika gagal membayarnya, manakala bagi pertuduhan ketiga, dia dihukum penjara enam bulan dan denda RM50,000 atau penjara sebulan, jika gagal membayarnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak.

Tertuduh bagaimanapun tidak dapat membayar semua denda berkenaan dan dikenakan hukuman penjara tambahan lima bulan bagi ketiga-tiga pertuduhan menjadikan dia perlu menjalani keseluruhan hukuman penjara selama 11 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *