Banjir Di Pitas Semakin Pulih

Foto APM Sabah

PITAS: Situasi banjir di daerah Pitas kian pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS), Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas ll dan Dewan SK Rukom ditutup, semalam.

Jumlah mangsa banjir masih ditempatkan di PPS sehingga jam 9 pagi hari ini menurun kepada 559 orang membabitkan 183 keluarga berbanding 583 mangsa daripada 190 keluarga setakat jam 5 petang semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menyatakan, PPS Dewan Kampung Sinukab kekal merekodkan seramai 510 mangsa banjir daripada 170 keluarga.

“Seramai 49 mangsa daripada 13 keluarga masih berada di PPS Kampung Kusilad. Bagaimanapun, kita mengingatkan penduduk sekitar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Sebanyak 10 kampung dilanda banjir susulan hujan lebat sejak Ahad lalu dengan dua kampung terbaru yang ditenggelami air malam kelmarin adalah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *