PAS Sabah Sedia Bantu PRN Johor

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

KOTA KINABALU: PAS Sabah masih menunggu arahan PAS pusat dan sedia membantu turun padang jika diperlukan bagi melancarkan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata pihaknya akan menghantar sejumlah jentera diperlukan mengikut kawasan yang sudah ditentukan pada pilihan raya itu kelak, selepas keputusan berhubung PRN Johor dibuat kepimpinan parti.

Beliau berkata, setakat ini berharap hubungan dijalin antara PAS dengan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus kukuh terutama bagi memutuskan kerjasama pada PRN ini.

“Kita masih menunggu arahan PAS pusat dan tiada halangan untuk turun membantu calon di PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, saya difahamkan perundingan masih dijalankan antara PAS dan MN serta PN berhubung PRN Johor ini, seandainya keputusan sudah ada, kita tetap akan membantu seperti dilakukan pada PRN Melaka yang lalu.

“Kita akan menghantar sejumlah jentera diperlukan mengikut kawasan yang sudah ditentukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Aliakbar berkata, PAS Sabah belum meletakkan sasaran kerusi tertentu untuk ditandingi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terlalu berpolitik ketika ini termasuk bagi menentukan kerusi bakal ditandingi, sebaliknya lebih menumpu kepada usaha membantu rakyat.

“PAS Sabah mahu lebih menumpukan perkara berkaitan kebajikan pada masa ini, malah kita menghulurkan bantuan tanpa melihat kawasan tertentu.

“Sebagai contoh, ketika banjir di Kota Marudu baru-baru ini, walaupun PAS secara rasmi belum bertapak di daerah berkenaan, namun kita tetap hadir menghulurkan bantuan,” katanya

Mengulas sambutan Tahun Baharu Cina, Aliakbar berkata, pihaknya mengedarkan limau mandarin dan kuih bahulu kepada masyarakat Cina di sekitar pejabat PAS Sepanggar sebagai simbol kemakmuran dan kegembiraan, selain menghormati masyarakat Tionghua di kawasan terbabit yang menyambut perayaan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menziarah beberapa tokong sekitar bandar raya untuk menyampaikan sumbangan dan cenderamata sebagai tanda menghargai masyarakat pelbagai kaum. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *