Polis Tahan Datuk Bawa Dua Cucu Di Ruang Kargo ‘Double Cab’

Pihak polis telah menerima rakaman satu video tular berdurasi 26 saat kira-kira jam 2.26 petang, semalam. – Foto PDRM

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan pihak polis selepas didapati melakukan kesalahan membawa dua kanak-kanak di ruangan kargo sebuah kenderaan pacuan empat roda, di simpang lampu isyarat Simpang Tiga Jalan Jitra berhampiran Balai Polis Jitra Lama, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, pihaknya telah menerima rakaman satu video tular berdurasi 26 saat kira-kira jam 2.26 petang, semalam.

Video itu memaparkan kenderaan jenis Toyota Hilux terbabit membawa dua penumpang yang duduk di bahagian kargo tanpa bertutup serta pengawasan orang dewasa yang mana boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain.

Sehubungan itu, kira-kira 30 minit kemudian, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu telah berjaya mengesan suspek di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus, Jitra.

Hasil siasatan mendapati, lelaki berkenaan mengaku telah memandu kenderaan dan membiarkan dua orang kanak-kanak berada di bahagian kargo kereta jenis Toyota Hilux.

Dia yang juga datuk kepada kanak-kanak terbabit menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan hanyalah sekadar suka-suka.

Hasil siasatan mendapati, lelaki berkenaan mengaku telah memandu kenderaan dan membiarkan dua orang kanak-kanak berada di bahagian kargo kereta jenis Toyota Hilux. – Foto PDRM

Tambah Rodzi, pihaknya kemudian telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) atas kesalahan melalukan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Beliau turut menasihati orang ramai terutama ibu bapa agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab atas keselamatan anak masing-masing selain mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *