PRN Johor: Tanding Atau Tidak Akan Umum Bulan Depan, Kata Warisan

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu akan mengadakan perbincangan dengan MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung PRN Johor dalam masa terdekat.

KOTA KINABALU: Warisan akan meneliti situasi semasa terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata presidennya, Shafie Apdal.

Katanya, parti itu juga akan mengadakan perbincangan dengan MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung PRN itu dalam masa terdekat.

“Kita akan lihat keadaan, saya telah arahkan jentera kita di Johor untuk teliti secara mendalam (mengenai PRN).

“Saya juga akan bincang dengan rakan saya, Syed Saddiq daripada MUDA. Beliau dari Johor dan Presiden MUDA, kami tidak ambil mudah (PRN Johor).

“Saya akan ke Johor bulan depan untuk berbincang dengan jentera kami di sana dan buat pengumuman,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang pada PRN Johor, Shafie berkata, Warisan kini hanya mahu menumpukan perhatian pada diri sendiri dahulu.

“Apa yang penting bagi Warisan kita perkuatkan dulu ‘rumah’ kita. Saya pernah bergabung dengan banyak parti sebelum ini tapi apa jadi? Keadaan negara tidak begitu baik.

“Kita belum putuskan bagaimana kita akan bergerak nanti tetapi Warisan beri pilihan kepada rakyat,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *