Sabah Jangka Lebih Banyak Kluster Baharu Babitkan Unstitusi Pendidikan

Masidi Manjun berkata, saringan kontak rapat dalam kalangan penghuni asrama di enam sekolah dan ia menunjukkan akan berlaku peningkatan kluster.

KOTA KINABALU: Lebih banyak kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan dijangka muncul di Sabah selepas ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Sabah kini sedang melakukan saringan kontak rapat dalam kalangan penghuni asrama di enam sekolah dan ia menunjukkan akan berlaku peningkatan kluster.

“Keputusan dan kesimpulan muktamad akan diketahui dalam satu atau dua hari lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, tiga kluster baharu termasuk satu kluster babitkan institusi pendidikan tercetus di Sabah, hari ini.

Kluster terbabit ialah Kluster Jalan Teritipan di Kota Marudu, Kluster Jalan Binunuk di Beaufort-Papar dan Kluster Montenior di Beaufort-Kuala Penyu.

Masidi Manjun.

“Kluster Jalan Teritipan melibatkan pelajar tingkatan empat (indeks kes) di SMK Tandek 2 yang disahkan positif melalui saringan PCR pada 23 Jan dan saringan di kalangan kontak rapat mendapati 37 orang lagi telah dijangkiti.

“Kluster Jalan Binunuk pula melibatkan kakitangan RISDA Beaufort di mana seorang wanita berumur 34 tahun (indeks kes) yang telah disahkan positif pada 22 Jan dan saringan ke atas kontak rapat di kalangan rakan sekerja serta ahli keluarga indeks kes mendapati 13 orang lagi telah dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata, jangkitan itu dipercayai berpunca daripada mesyuarat yang melibatkan jumlah yang ramai dalam satu fasiliti yang sama.

Katanya satu lagi kluster tempat kerja iaitu Kluster Montenior melibatkan petugas kesihatan wanita berumur 37 tahun (indeks kes) yang yang tinggal di Kuala Penyu.

“Indeks kes disahkan positif pada 12 Jan dan saringan yang dibuat seterusnya di kalangan kontak rapat mendapati 24 orang daripada kontak generasi pertama, 17 orang daripada kontak generasi kedua dan dua orang kontak generasi ketiga juga telah dijangkiti.

“Mereka adalah terdiri daripada rakan sekerja indeks kes dan ahli keluarga kakitangan kesihatan,” katanya.

Terdahulu Masidi berkata, jumlah kes baharu di Sabah melonjak hari ini iaitu 335 kes berbanding 314 kes, semalam.

Katanya, antara penyumbang utama kes hari ini ialah Kluster Jalan Teritipan yang melaporkan 38 kes baru.

“Daripada 335 kes baharu hari ini, 330 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, dan masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan 5,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *