Daftar Atau Tidak, GRS Tidak Akan Beri Ompak – Bung Moktar

Bung Moktar Radin (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah, di Kota Kinabalu,.

KOTA KINABALU: Pendaftaran secara rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pertubuhan politik tidak akan memberi impak kepada pihak dalam gabungan berkenaan, kata Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Bung berkata, ini kerana GRS sebelum ini ditubuhkan hanya sebagai satu platform bagi mewujudkan sebuah kerajaan.

“Saya melihat GRS ini sama ada didaftar atau tidak, tiada sebarang impak akan diterima mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, perkara ini akan dibincang, apa intipati dia dan bagaimana penyelarasan apabila didaftarkan nanti.

“(Setakat ini) Kita belum ada mesyuarat, saya dengar dulu apa cadangan dia (pendaftaran secara rasmi GRS),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, keputusan berhubung pilihan raya kecil (PRK) Bugaya dijangka dapat diketahui dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta PRK berkenaan diadakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sedang menunggu keputusan daripada badan itu.

“Kita memang sudah minta perkara ini (diadakan PRK Bugaya) kepada SPR namun segala keputusan juga turut mengambil kira laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Situasi pandemik Covid-19 di Sabah ketika ini dilihat masih belum mengizinkan bagi mengadakan pilihan raya.

“Tetapi saya yakin kita bakal mengetahui keputusan mengenai PRK Bugaya dalam masa seminggu dua ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *