Sabah Catat Kes Baharu Covid-19 Paling Rendah Sejak 8 Bulan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, Sabah mencatatkan jangkitan baharu Covid-19 terendah sejak lapan bulan lalu dengan hanya 118 kes dikesan hari ini.

Katanya, perkembangan itu menyaksikan trend penstabilan yang baik dengan jumlah dicatatkan hari ini juga menurun 54 kes berbanding semalam.

“Hari ini hanya lima daerah mencatatkan kes baharu dua angka, iaitu Kota Kinabalu dengan 17 kes, diikuti Papar dengan 15 kes, Tuaran (15 kes), Penampang (13 kes) dan Sandakan, 12 kes.

“Ranau yang mencatatkan jumlah kedua tertinggi semalam dengan 21 kes cuma merekodkan dua kes baharu hari ini manakala Beaufort juga cuma mencatatkan lapan kes baharu.

“Selain itu, enam daerah tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya ketika dihubungi.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, jumlah kes harian sama ada turun atau naik banyak dipengaruhi oleh kemunculan kluster baharu dari semasa ke semasa.

Katanya, sikap masyarakat yang bertanggungjawab seperti pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) juga faktor penting dalam usaha mengekalkan jumlah kes baharu Covid-19 pada tahap yang rendah di Sabah.

“Semua rakyat berperanan sebagai petugas ‘barisan hadapan’ dalam usaha negeri membanteras penularan virus ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 114 daripada 118 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, masing-masing dua kes dalam Kategori 3 dan 4 manakala tiada pesakit dalam Kategori 5. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *