Luntur Keyakinan Punca ADUN DAP Sabah Keluar Parti

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Kekalahan teruk DAP pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini dipercayai membayangi keputusan dua wakil rakyatnya keluar parti itu di Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau percaya bahang kekalahan itu turut dirasai DAP Sabah hingga wakil rakyatnya bertindak meninggalkan parti.

“Nampak gaya pergolakan politik (pembangkang) di Sabah semakin melebar. Walaupun kita belum pasti ke mana hala tuju dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP ini, namun saya percaya mereka mempunyai perancangan tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas tindakan dua ADUN DAP, Justin Wong (Sri Tanjung) dan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) yang mengumumkan keluar parti, semalam.

Turut mengikut langkah mereka ialah bekas senator DAP, Adrian Lasimbang yang sebelum ini aktif mengembangkan parti dalam kalangan anak negeri Sabah, khususnya di kawasan pedalaman.

Ketiga-tiga mereka menyalahkan kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah, selain kecewa terhadap kepemimpinan pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung sebagai antara sebab keluar parti.

Berikutan tindakan dua ADUN terbabit, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

Bung Moktar yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, perjuangan setiap parti politik perlu berlandaskan keyakinan sebagai asas untuk terus bertahan.

“Kalau kita sudah tidak yakin dengan apa yang sedang diperjuangkan, maka kita perlu mencari hala tuju baharu. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua YB (Yang Berhormat) yang meninggalkan DAP,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *