‘Bukan Tak Mahu Bersama, Tapi Ketua DAP Sabah Tolak Saya’, Alasan ADUN Elopura Keluar Parti

Calvin Chong (kiri) berkata, parti terutama Ketua DAP Sabah Frankie Poon, tidak menghargai apa dilakukannya di kawasan diwakilinya.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong berkata, tindakannya meninggalkan DAP Sabah dibuat selepas mengambil kira sikap Ketua DAP negeri, Frankie Poon yang meminggirkannya “sejak sekian lama.”

Menurut ADUN yang sudah berkhidmat selama dua penggal itu, beliau diketepikan oleh kepimpinan tertinggi selepas tidak dilantik dalam jawatankuasa negeri sejak pemilihan parti pada 2016.

Katanya, keputusan tidak menamakannya sebagai ahli jawatankuasa cukup memeranjatkan kerana beliau adalah wakil rakyat ketika pemilihan parti itu dibuat, iaitu pada 2018 dan 2021.

Chong, yang baharu semalam mengumumkan meninggalkan DAP bersama ADUN Sri Tanjong Justin Wong dan bekas senator Adrian Lasimbang berkata, walaupun sebelum ini sudah dipinggirkan, beliau kekal sehinggalah pemilihan parti Nov lalu.

“Walaupun dalam pilihan raya negeri Sabah pada September 2020, Warisan yang mengeluarkan surat watikah…bukan daripada DAP. Parti menolak saya (sebagai calon),” katanya kepada FMT.

“Ini bukan soal saya tidak lagi mahu bersama DAP, tetapi Ketua DAP menolak saya. Jadi saya keluar.”

Chong, sebelum ini pernah menyatakan kekecewaannya berhubung keputusan pemilihan DAP Sabah tahun lalu dengan beliau memberi masa selama tiga bulan kepada parti untuk menyakinkannya supaya kekal bersama parti, namun “tiada siapa menghubunginya”.

“Saya sudah bersama DAP sejak 2012 dan bekerja keras untuk parti dan untuk rakyat di kawasan saya, tetapi tiada siapa yang memberi penghargaan atas apa yang saya sudah lakukan.

“Saya berasa cukup kecewa dan itu adalah sebab saya keluar atas kemahuan diri,” katanya.

Mengumumkan tindakan keluar parti semalam, Wong mendakwa timbul rasa kurang percaya beliau terhadap kepimpinan DAP Sabah, terutama membabitkan Poon.

Beliau mendakwa parti kehilangan hala tuju, berdepan perpecahan dalaman dan kurang komunikasi antara kepimpinan menyebabkan mereka percaya parti berkenaan tidak lagi berjuang demi kebaikan rakyat.

FMT sudah menghubungi Poon yang berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan hari ini.

Bercakap mengenai rancangan masa depan Chong berkata, beliau kekal sebagai ADUN bebas buat masa ini, dengan tindakan sama diambil Wong, semalam.

“Saya bukan prokerajaan mahupun pembangkang. Saya tiada perancangan untuk dikaitkan dengan mana-mana parti.

“Saya hanya mahu berkhidmat kepada rakyat di Elopura,” katanya sambil menolak cakap-cakap beliau dan Wong akan menyertai Warisan.

DAP Sabah kini hanya mempunyai empat wakil di Dewan Undangan Negeri, iaitu Poon (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Dalam pada itu Adrian berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP Sabah di bawah Poon. Beliau mendakwa, Poon langsung tidak menggerakkan inisiatif menyatukan parti, selain mengukuhkan DAP di negeri itu.

“Sebaliknya, fokusnya hanya membabitkan kepentingan pengikutnya sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau masih yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai misi penting dalam membawa perubahan di negara ini, namun berharap kepimpinannya dapat mencari formula baharu dan bekerjasama dengan parti lain yang inginkan perubahan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *