Lelaki Maut Dipercayai Dipukul Pencuri Kabel Elektrik Di Kingfisher

Mangsa berusia 50 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh rakannya. – Foto PDRM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut dipercayai dipukul pencuri kabel elektrik dalam kejadian berhampiran sebuah pejabat terbiar di Kingfisher di sini, tengah malam semalam.

Mangsa berusia 50 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh rakannya.

Ketua Polis Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa keluar rumah pada 10.30 malam untuk memeriksa fius kerana bekalan elektrik rumahnya terputus.

Katanya, sejam selepas itu, rakan mangsa bersama anaknya turut ke tempat sama sebelum menemui mangsa.

“Ketika membuat pemeriksaan, rakan mangsa terdengar bunyi anjing menyalak, lalu dia memeriksa keadaan sekeliling. Dia kemudiannya terlihat kelibat orang dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan tompokan darah.

“Dia hanya menyedari lelaki itu adalah rakannya sebaik menghubunginya dan terdengar deringan telefon. Dia kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati mangsa mengalami bengkak pada mata dan cedera di dahi akibat dipukul menggunakan objek keras.

Polis turut menemui sebatang kayu yang disyaki digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat kabel elektrik yang dipotong dan disyaki dicuri suspek tidak dikenali.

“Suspek dipercayai mencuri kabel di bilik fius dan menyerang mangsa sebelum melarikan diri. Kita masih menyiasat kes dan cuba mengesan suspek,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mohd Zaidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *