Kes Bararu Covid-19 Di Sabah Meningkat Sedikit Hari Ini – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata faktor penyebab berlakunya peningkatan kes mendadak di Kota Kinabalu adalah disebabkan 25 kes baharu yang membabitkan Kluster Bahtera Kinabalu.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kes baharu Covid-19 di Sabah meningkat sedikit pada hari ini iaitu sebanyak 231 kes dicatatkan berbanding 226 kes, semalam.

Katanya, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 60 kes iaitu meningkat 14 kes berbanding semalam.

“Faktor penyebab kepada berlakunya peningkatan kes mendadak di Kota Kinabalu adalah disebabkan terdapat 25 kes baharu yang membabitkan Kluster Bahtera Kinabalu.

“Selain kes daripada kluster, sebanyak 18 kes berpunca daripada kes bergejala, 11 kes daripada saringan kontak rapat dan enam kes lagi daripada lain-lain saringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, sebanyak 27 daerah merekodkan penambahan jumlah kes harian.

Katanya, tujuh daerah mencatat kes dua angka, 14 daerah mencatatkan kes satu angka manakala enam daerah lagi tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Kesemua daerah mencatatkan perubahan angka yang tidak statik kecuali daerah-daerah yang konsisten dengan catatan sifar kes seperti Kunak, Kalabakan dan Nabawan.

“Selain itu, seramai 226 orang daripada 231 pesakit baharu hari ini berada dalam kategori 1 dan 2, seorang dalam kategori 3, dua orang dalam kategori 4 dan tiada pesakit dalam kategori 5 manakala dua kes lagi masih dalam penilaian JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah),” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *