73 Mangsa Banjir Di Kota Marudu Dipindah

Pasukan keselamatan menjalankan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kota Marudu.

KOTA MARUDU: Seramai 73 penduduk membabitkan 17 keluarga di Kampung Beliajung, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kota Marudu, Rayner Saimon berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan.

“Setakat jam 7 malam ini, keadaan Sungai Bandau dan Sungai Bongon berada di bawah paras waspada dan keadaan cuaca juga masih hujan.

“Sebanyak enam kampung terjejas berikutan hujan berterusan sejak awal pagi. Bagaimanapun mangsa yang dipindahkan ketika ini hanya dari Kampung Beliajung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan sedang dibuat dan operasi menyelamatkan serta memindahkan mangsa sedang dilakukan dan dijangka jumlah mangsa akan bertambah.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, banjir gelombang kedua diisytiharkan berlaku di daerah ini.

“Ia disahkan berikutan paras air mencecah paras bahaya di kawasan Kampung Beliajung bermula jam 6.15 petang tadi.

“Saya mengarahkah agar operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa di lapangan dilakukan segera manakala PPS dibuka serta-merta,” katanya.

Alexander yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana (Banjir) Daerah Kota Marudu berkata, Bilik Gerakan Bencana Daerah Kota Marudu turut dibuka dan semua petugas jabatan diminta bertugas mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Semua PPS dibenarkan dibuka sesuai situasi dari laporan di lapangan. PKOB Banjir (Kota Marudu) telahpun diaktifkan sebelum ini dan secara rasminya digerakkan sepenuhnya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *