Kluster Puncak Ilmu, 41 Penuntut & Kakitangan UMS Positif Covid-19

Masidi Manjun berkata, kes indeks selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah UMS, manakala 40 kes positif lain sudah diasingkan dan dirawat.

KOTA KINABALU : Satu kluster baharu Covid-19 dikesan di Sabah membabitkan institusi pendidikan yang mencatatkan 41 kes setakat ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, 41 penuntut dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu disahkan positif, dengan kes indeks dalam kluster Puncak Ilmu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

“Kes indeks yang mula bergejala sejak 1 Dis kemudiannya disahkan positif Covid-19 melalui saringan di Pusat Perubatan UMS pada 2 Dis lepas dan selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) UMS.

“Saringan terhadap kontak kes mendapati 40 lagi kes positif terdiri daripada penuntut dan kakitangan UMS. Semua kes sudah diasingkan dan diberikan rawatan sesuai,” katanya dalam kenyataan malam tadi yang dipetik Harian Metro.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal tiga angka, iaitu 232 kes, menjadikan keseluruhan jangkitan meningkat kepada 237,535 kes sehingga kini.

Katanya, enam kematian dilaporkan semalam yang membabitkan dua kes di Ranau dan masing-masing satu kes di Keningau, Penampang, Semporna serta Tawau.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *